Home

  About Us

  Jobs@AMI

  Contact Us

Might-Meteor eksport kepakaran ke Myanmar

(Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR 5 Mac - Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (Might), menerusi anak syarikatnya, Might-Meteor Advance Manufacturing Sdn. Bhd. (MMAM) telah mula mengeksport kepakarannya ke Myanmar.

Program itu, yang dinamakan `Program Serantau' akan dikembangkan ke Thailand tahun ini dan ke negara-negara Asia Barat bagi menggalakkan perkongsian dan pengembangan kepakaran industri tersebut menerusi kerjasama antarabangsa.

Menurut Pengerusi Might, Dr. Ahmed Tasir Lope Pihie, program sedemikian amat perlu bagi meningkatkan kualiti pengeluaran industri perkilangan menerusi adaptasi bidang automasi dalam suasana ekonomi dunia yang semakin mencabar.

"Pada masa yang sama, martabat industri pengilangan tempatan juga terus dipertingkatkan menerusi kerjasama Might dengan beberapa firma dalam negeri untuk menghadapi cabaran persaingan sedunia yang semakin sengit,'' ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara MMAM dan anak syarikat LTK Industrial Berhad, LTK Automation Sdn. Bhd., di sini, hari ini.

Majlis menandatangani MoU berkenaan di sempurnakan oleh Ahmed Tasir sendiri bagi pihak Might manakala LTK Automation Sdn. Bhd. pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif syarikat induknya, Vincent Loh.

Menerusi kerjasama ini, Might akan melabur sejumlah RM1 juta dalam melaksanakan Sistem Pengurusan Kualiti Elektronik (eQMS) dan Program Sokongan Kelengkapan (ESP) di Advanced Manufacturing Institute (AIM) milik Might.

Latihan berkenaan, yang terbuka kepada semua terutamanya komuniti pengilangan negara akan diadakan di kampus AIM di Sri Kembangan, Selangor serta di Universiti Terbuka Malaysia.

Dengan pelaksanaan kedua-dua sistem tersebut, Ahmed Tasir berkata, pihaknya mensasarkan latihan sambil bekerja kepada 500 graduan lepas ijazah untuk menyertai institut tersebut dalam usahanya untuk meningkatkan jumlah pakar pengeluaran terlatih negara.

Pada masa yang sama, Vincent berkata, pihaknya turut menyumbang peralatan bernilai RM200,000 kepada AIM bagi menjayakan program tersebut demi memartabatkan industri pengilangan negara.