Might-Meteor majukan teknologi telematik
(Berita Harian)
MIGHT-Meteor Advance Manufacturing Sdn Bhd (Might-Meteor) bekerjasama dengan lima syarikat bagi membangunkan teknologi telematik di negara ini.
Lima syarikat itu ialah Thales Telematics Plc (Thales) dari Perancis, International Wireless Technologies Sdn Bhd (IWT), Telekom Malaysia Bhd (Telekom), Celcom Malaysia Bhd (Celcom) dan Alcatel Network Systems (M) Sdn Bhd (Alcatel).
Telematik adalah teknologi untuk menghasilkan sistem kenderaan yang mampu memberi maklumat dan perkhidmatan menerusi gabungan sistem komputer serta telekomunikasi bersepadu
Ketika ini, teknologi telematik sudah digunakan dalam menghasilkan produk Sistem Telematik Kenderaan Pintar (IVTS) yang dikenali sebagai I.Car.
Pengerusi Might-Meteor, Tan Sri Dr Ahmad Zaharudin Idrus, berkata kerjasama itu akan mengembangkan sistem terkini yang digunakan dalam pembangunan produk, sistem serta perkhidmatan I.Car di negara ini.
Menerusi kerjasama itu, Thales yang berpengalaman luas dalam bidang teknologi telematik akan memindahkan kepakarannya kepada syarikat tempatan yang terbabit.
“Perkhidmatan telematik boleh digunakan secara meluas oleh sesiapa saja sama ada pengendali kenderaan, pihak berkuasa seperti polis untuk memantau pergerakan kenderaan.
“Produk telematik ini boleh bertindak sebagai pelindung keselamatan kenderaan selain memberi perkhidmatan seperti akses internet, pemantauan kereta ketika kecurian, panduan laluan dan perkhidmatan bantuan kecemasan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis memeterai perjanjian Kerjasama Teknikal dan Protokol antara Might-Meteor dengan lima syarikat di Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, semalam.
Pembabitan Telekom Malaysia dan Celcom dalam projek itu akan membantu menyediakan kemudahan telekomunikasi bagi penghantaran kandungan yang disediakan menerusi rangkaian selular Perkhidmatan Radio Paket Am (GPRS) dan Sistem Penentuan Kedudukan Global (GPS) daripada Thales.
Alcatel akan menawarkan kemudahan pengeluarannya di Pulau Pinang bagi pemasangan dan pengeluaran produk telematik.
Sementara itu Pengarah Jualan dan Pemasaran Thales, Stephen Clark, berkata produk telematik dijangka mula dipasarkan di Malaysia akhir tahun ini.
“Malaysia dilihat sebagai pasaran yang penting kepada kegiatan pengembangan Thales di rantau Asia Pasifik.
“Peluang pasaran bagi rangkaian produk telematik di negara ini masih ada dan kami yakin mampu mencapai sasaran di negara ini,” katanya.
Sebagai permulaan, industri automotif dikenal pasti sebagai sasaran pasaran utama I.Car.
Produk itu yang mula diperkenalkan pada pameran Permotoran Antarabangsa Kuala Lumpur (Klims) 2003 baru-baru ini, dijual pada harga RM2,000 seunit.1
|